Tuesday, February 3, 2026

Nasihat Untuk Penjawat Awam: JANGAN MASUK PENJARA

Nasihat Untuk Penjawat Awam: JANGAN MASUK PENJARA

Saya tahu ramai followers saya terdiri daripada penjawat awam.

Baru-baru ini, semasa isteri saya menghadiri satu majlis walimah (saya tidak dapat hadir kerana urusan lain), ramai bekas staf beliau datang berjumpa dan memaklumkan bahawa mereka merupakan followers saya serta gemar membaca catatan dan nasihat yang saya kongsikan, sebagai bekas penjawat awam.  

Terus terang saya katakan, semasa zaman saya berkhidmat dahulu, sangat jarang kami menerima nasihat daripada pegawai senior tentang 'do’s and don’ts' dalam perkhidmatan awam.

Kebanyakannya perlu dipelajari sendiri. Dan harus difahami, ketidakfahaman kita terhadap Perintah Am, Peraturan Kerajaan, Surat Pekeliling dan Arahan Perbendaharaan tidak akan melepaskan kita daripada hukuman jika melanggarnya.

Baru-baru ini saya menerima mesej daripada seorang rakan yang baru sahaja tamat tempoh parole dan dibebaskan sepenuhnya dari penjara:

“Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, I have just completed my parole dan baru sahaja dibebaskan today.
TQVM for all your support.
Semoga Allah melindungi dan memberkati kehidupan kita semua. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.”

Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan dan mendapat parole selepas menjalani satu pertiga daripada hukuman. Hari ini, beliau telah bebas sepenuhnya.

Apabila saya bertanya tentang pengalamannya di dalam penjara, jawapannya ringkas tetapi sangat mendalam:

“Janganlah masuk penjara. Ia adalah hell on earth.”

Ya, penjara adalah neraka dunia.

Saya tidak akan ceritakan punca beliau dipenjarakan. Namun sebagai penjawat awam, pesanan beliau sangat jelas:

“Do not trust anybody.”
“Follow your conscience.”
“Always protect yourself with documents and know what you sign.”

Ramai orang akan menggunakan anda ketika anda berkuasa, dan apabila sesuatu berlaku, anda akan dijadikan kambing hitam.

Beliau sendiri mengakui telah banyak melakukan kesilapan dalam tugas.

Di dalam penjara, beliau bertemu ramai bekas penjawat awam yang turut merengkok di dalam.

Ambillah iktibar. Beliau telah membelanjakan lebih RM250,000 untuk bayaran peguam, namun tetap didapati bersalah.

His lawyers were laughing all the way to the bank…

Amma ba'du. 

Nasihat Saya Sebagai Bekas Penjawat Awam

1. Ikut kata hati (conscience) dan jangan percaya sesiapa 100%.

Sentiasa berfikir, sentiasa berhati-hati dan gunakan kebijaksanaan anda setiap masa.

2. Jika anda mempunyai kuasa MELULUSKAN, jangan sekali-kali meluluskan apa-apa permohonan dari seorang SAUDARA.

Ini termasuk tender, sebut harga atau apa jua kelulusan.

Ramai tidak sedar perkara ini adalah kesalahan serius dan ramai telah didakwa serta dipenjarakan.

Jika anda berada dalam jawatankuasa:
   • Isytiharkan kepentingan (declare interest)
   • Keluar dari mesyuarat
   • Pastikan ia direkodkan dalam minit mesyuarat

Takrif SAUDARA merangkumi:
Ibu bapa, atuk nenek, anak, adik-beradik, anak saudara, suami/isteri, sepupu, cucu, cucu saudara, pak/mak saudara dan menantu.

3. Lindungi diri anda dengan dokumen.

Pastikan anda faham sepenuhnya apa yang anda tandatangani.

4. Keputusan yang melibatkan risiko kewangan mestilah dibuat secara jawatankuasa, bukan individu.

5. Jangan sekali-kali memecahkecilkan perolehan bagi item yang sama untuk mengelakkan sebut harga atau tender, kecuali mendapat kelulusan Kementerian Kewangan atau Pegawai Kewangan Negeri.

Jangan ingat anda bijak dan orang lain tak dapat menghidu jejak anda.  

Kepentingan Dokumentasi Dalam Perkhidmatan Awam

Ramai rakan saya semasa bertugas telah dikenakan tindakan disiplin, diturunkan pangkat, dan ada yang dipenjarakan.

Apakah kesalahan mereka?
Cuai dalam menjalankan tugas.

Semasa saya berkhidmat di sebuah jabatan ketika usia 30-an, ratusan projek berjalan serentak daripada RM10,000 hingga berjuta ringgit.

Banyak kerja undi, kerja indent, sebut harga dan tender berlaku serentak dan adalah mustahil untuk saya memeriksa setiap projek secara fizikal.

Peliknya, apabila projek siap, hanya saya seorang yang perlu menandatangani sijil bayaran.
Kadangkala ratusan certificate of payment berada di atas meja saya, sedangkan saya tidak mampu mengesahkan semuanya sendiri.

Saya mula bertanya pada diri:

“Adakah kerja ini benar-benar siap?”
“Atau wujud penipuan oleh staf bawahan?”

Akhirnya, saya mengubah prosedur dan mewajibkan pengesahan berperingkat, seperti berikut:

   • Projek disemak - Juruteknik
   • Projek disahkan siap - Pembantu Teknik
   • Projek disahkan untuk bayaran - Jurutera
   • Pembayaran diluluskan - Ketua Jabatan

Walaupun kelihatan birokratik, kaedah ini mewujudkan tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Ada staf menuduh saya penakut.

Jawapan saya mudah pada mereka:

“Kalau nak masuk penjara, kita masuk bersama-sama.”

Selepas itu, saya dapati semua kakitangan menjadi jauh lebih berhati-hati dan menyemak kerja berulang kali kerana mereka juga perlu menandatangani pengesahan.

Moral of the Story

Jika anda seorang penjawat awam:

   • Jangan percaya sesiapa kecuali conscience (furqan) anda
   • Jangan peduli apa orang kata
   • Yang penting, selamatkan diri anda terlebih dahulu

Keputusan terbaik ialah keputusan secara kolektif, direkodkan dan diminitkan dengan jelas:

“Mesyuarat telah bersetuju membuat keputusan berikut…”

Apabila segalanya didokumentasikan, anda tidak akan dijadikan kambing hitam jika sesuatu yang buruk berlaku.

Wallahua’lam.

Ir. Hj. Zainuddin Bin Hj. Omar

No comments:

Post a Comment